Thursday, August 27, 2015

SAMM rai BERSIH 4 dan minta semua bertenang termasuk pasukan keselamatan

Kenyataan Umum
26 Ogos 2015

Semua Pihak Perlu Bertenang Dan Terbuka Meraikan Perbezaan Pandangan

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menasihatkan Najib dan Polis DiRaja Malaysia agar tidak mengambil sebarang tindakan keterlaluan dalam menghadapi perhimpunan Bersih 4 nanti.

Bersih telah berulang kali menyatakan bahawa perhimpunan hujung minggu nanti adalah satu perhimpunan tunjuk rasa secara aman. Perhimpunan tersebut juga akan menjadi medan ujian bagi Najib sama ada Najib akan menuju bentuk pemerintahan tirani seperti Mahathir semasa zaman Reformasi 1998 dahulu.

SAMM dengan ini meminta semua pihak agar bertenang kerana Kerajaan tidak akan terguling hanya dengan demonstrasi 48 jam. Perhimpunan Bersih hanyalah sekadar ruang untuk rakyat melaksanakan hak yang dijamin Perlembagaan dan menyuarakan pendapat bagi mendesak penambahbaikan sistem pentadbiran negara khususnya penambahbaikan Pilihanraya.

SAMM menghargai usaha Bersih mengubah dan menggugurkan tuntutan menjatuhkan individu semata-mata kerana kita perlu ingat perubahan sistem bernegara itu adalah lebih penting dan utama. Tiada gunanya pemimpin tertinggi negara silih berganti tetapi sistem yang bejat ini tidak dipulihkan.

SAMM mendokong penuh tuntutan Bersih ke arah Pilihanraya Umum yang bebas dan adil dimana SAMM merupakan sebahagian tenaga yang mengasaskan Bersih sejak dari zaman Syed Syahir menjadi pengerusinya.  Malah tidak keterlaluan, strategi demo Bersih 1 yang diwarisi hingga kini merupakan idea asal SAMM bersama sekutu ketika itu.

Dalam perkembangan yang sama, SAMM tidak pernah sesekali membuat sebarang ketetapan menghalang mana-mana komrad SAMM untuk menyertai perhimpunan Bersih 4 nanti. Komrad SAMM bebas untuk turut serta. SAMM tetap kekal komited untuk meraikan pandangan dan pelbagai aksi unjuk rasa bagi menyelamatkan tanahair ini daripada terus terbeban dengan kerosakan sistem yang serius.

SAMM juga menyelar tindakan-tindakan kumpulan anti-Bersih 4 termasuklah aksi separa matang kumpulan baju Merah di depan Sogo. Walaupun berbeda pandangan politik tetapi tidak sepatutnya ia dizahirkan dengan tindakan mengugut dan cuba menimbulkan kekacauan terhadap sebuah perhimpunan aman yang lain. Jika kumpulan ini mahu membuat perhimpunan untuk tujuan menyokong Perdana Menteri, buatlah di lokasi lain atau di masa yang lain kerana Bersih telah umum lebih awal.

Che'GuBard
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

No comments:

Post a Comment